Keistimewaan Anak Perempuan

Besar pahalanya menggembirakan anak perempuan.

Kanak-Kanak Overdose Vitamin

Jadilah sahabat dan pendengar untuk anak anda.

Resepi Bayi

Resepi Menyediakan Makanan Anak Kecil Anda

Genius

Bagaimana anak-anak mempraktikkan perkara dan berfikir secara kritis dan kreatif

Bestnyer Main Buih Sabun

Rangsang perkembangan minda dengan main buih sabun

Impak Kem Motivasi

Impak positif daripada kem motivasi

Senarai Simple Recepi For Breakfast

Pelbagai variasi senarai resepi ringkas

21 Tempat Menarik Di Malaysia

Tempat menarik untuk honeymoon, famili day, release tension dsb

Rabu, 15 Ogos 2018

Persoalan Menyusukan Anak Kembar





Adakah menyusu badan anak kembar mengambil masa lebih panjang?

Menyusu badan anak kembar mengambil masa lebih kurang sama dengan penyusuan botol.

Penyusuan botol mungkin mengambil masa lebih panjang berbanding penyusuan badan kerana anda perlu menyediakan dan membancuh susu formula, dan kemudian mencuci dan mensteril botol tersebut.
Bolehkah saya menyusukan dua orang bayi pada masa yang sama?

Boleh, namun anda perlukan masa dan latihan untuk membiasakan diri.

Ketika anda masih lagi belajar mengenai penyusuan badan, anda mungkin dapati lebih mudah untuk memulakannya dengan menyusukan bayi anda secara berasingan, terutamanya jika ini adalah bayi pertama anda.

Penyusuan berasingan secara amnya adalah lebih mudah kerana anda boleh gunakan kedua-dua tangan untuk memastikan bayi anda melekap dengan sempurna. Setelah bayi melekap sempurna dan berada dalam keadaan selesa, anda boleh lepaskan sebelah tangan untuk membuat perkara-perkara lain. Hormon oksitosin yang dibebaskan oleh badan anda ketika penyusuan boleh membuatkan anda rasa dahaga, jadi bolehlah anda gunakan sebelah tangan yang bebas itu untuk memegang botol air. Menyusukan seorang bayi juga lebih mudah ketika anda berada di luar.

Walau bagaimanapun, menyusukan anak kembar anda serentak akan menjimatkan masa dan membolehkan anda mendapat lebih rehat dan tidur. Jika seorang bayi menyusu lebih kuat daripada yang seorang lagi, dia mungkin menyebabkan refleks letdown (keadaan di mana susu memancut keluar) berlaku lebih cepat.

Refleks let down berlaku apabila sel-sel otot dalam payudara anda dirangsang untuk menekan kantung-kantung berisi susu. Ini membuatkan susu tersedia untuk bayi anda. Memandangkan refleks ini berlaku dalam kedua-dua belah payudara secara serentak, ia memberi manfaat kepada kedua-dua bayi pada masa yang sama.

Menyusukan kedua-dua kembar serentak juga membolehkan anda menenangkan kedua-dua mereka dan menghilangkan kelaparan mereka sekaligus. Namun memandangkan setiap kembar adalah individu yang berlainan, seorang kembar mungkin ingin menyusu lebih kerap daripada kembar yang seorang lagi.

Tip-tip bagi penyusuan secara serentak:

Gunakan kusyen atau bantal untuk menyokong bayi-bayi anda. Anda boleh cuba gunakan bantal berbentuk V yang direka khas untuk menyusukan bayi kembar.

Anda mungkin perlu bantuan untuk meletakkan kedua-dua bayi pada posisi yang betul di atas bantal. Tetapi sebaik sahaja mereka sudah dalam posisi, permukaan bantal tersebut yang besar dan kejap akan menyokong kedua-dua bayi anda secara serentak. Ini dapat membebaskan tangan anda untuk menukar posisi atau menyedawakan setiap bayi.

Dengan menggunakan bantal, anda boleh menukar posisi penyusuan. Contohnya, anda boleh beralih daripada pegangan pangkuan (merentasi dada) kepada pegangan ragbi (di bawah lengan). Atau anda boleh gabungkan kedua-dua posisi tersebut.

Tiada cara yang diterima sebagai terbaik untuk menyusukan bayi kembar anda, oleh itu pilihlah kaedah yang sesuai dengan anda dan mereka.

Walau bagaimanapun, ingatlah bahawa lebih baik bagi anda bertukar-tukar payudara ketika menyusukan kerana kemungkinan besar bayi-bayi anda tidak menyusu dengan cara yang sama. Bertukar-tukar payudara memboleh bayi yang lebih kuat menyusu untuk memacu penghasilan susu dalam kedua-dua belah payudara, lantas memastikan bekalan susu sentiasa tinggi.

Jika sukar bagi anda mengingati kembar mana yang menyusu di setiap payudara ketika sesi penyusuan yang terakhir, cuba bertukar payudara setiap 24 jam berbanding setiap selepas sesi penyusuan.

Patutkah saya ikut rutin penyusuan yang fleksibel bagi bayi-bayi saya?

Untuk memastikan bekalan susu anda mencukupi, anda perlu menyusukan bayi-bayi anda dengan kerap. Menyusukan bayi apabila mereka kelihatan bersedia (atas permintaan) biasanya bermakna penyusuan yang lebih cepat dan lebih dalam. Jika anda menyusukan bayi anda secara berasingan, penyusuan boleh menjadi sesuatu yang ditentukan oleh bayi, namun ini mungkin menyebabkan anda rasa seolah-olah anda menyusukan setiap masa.

Sebagai alternatif, anda mungkin memutuskan untuk membiarkan kembar yang lebih lapar menetukan masa penyusuan seterusnya bagi kedua-dua bayi. Ini mungkin bermaksud anda harus mengejutkan kembar yang satu lagi apabila kembar yang pertama telah selesai menyusu.

Anda boleh cuba menyusukan bayi anda atas permintaan pada peringkat awal dan kemudian apabila mereka sudah besar sedikit anda boleh secara perlahan-lahan memperkenalkan rutin penyusuan.

Bolehkah saya menghasilkan susu yang cukup untuk lebih daripada seorang bayi?

Boleh. Jika anda menyusukan setiap kali bayi-bayi anda lapar, badan anda akan menghasilkan susu yang cukup. Penyusuan badan adalah sesuatu yang berlaku berasaskan permintaan-dan-bekalan.

Ramai ibu yang menyangka bekalan susu mereka rendah, tetapi sebenarnya tidak. Jika anda bimbang mengenai perkara ini, yakinlah bahawa anda boleh merangsang penghasilan susu jika anda:

Pastikan bayi-bayi anda melekap dengan sempurna.

Menyusukan dengan lebih kerap.

Mengepam dengan lebih kerap.

Jika anda bimbang samada bayi-bayi anda mendapat susu yang cukup ataupun tidak, kiralah berapa kali anda perlu menukar lampin setiap seorang daripada mereka. Dalam masa 48 jam selepas dilahirkan, kemungkinan besar mereka hanya perlu ditukar lampin dua atau tiga kali sahaja.

Tetapi apabila bayi anda sudah berusia lima hari, anda sepatutnya menukar lampin mereka lima hingga lapan kali sehari bagi setiap bayi. Menjelang minggu kedua, bayi anda seharusnya menyusu enam hingga lapan kali sehari. Selepas hari kelima, najis bayi yang diberi susu badan akan menjadi lembut dan berwarna kuning seperti sos biji sawi (mustard).

Jika anda boleh mencari masa, rekodkanlah waktu-waktu menyusu mereka. Tuliskan kembar mana menyusu di payudara sebelah mana pada sesi penyusuan yang terakhir, dan berapa kalikah setiap bayi ditukar lampin.

Bagaimana jika bayi-bayi saya ditempatkan dalam penjagaan khas?

Ada kemungkinan bahawa seorang atau kedua-dua bayi anda perlu diletakkan dalam penjagaan khas selepas dilahirkan. Jika anda tidak dapat menyusukan mereka serta-merta, mulalah mengepam susu pertama (kolostrum) anda secepat mungkin selepas anda bersalin.

Anda boleh mengepam susu anda menggunakan tangan, pam manual atau pam elektrik. Jika anda dapati mudah menggunakan pam elektrik, anda boleh mengepam kedua-dua belah payudara pada masa yang sama apabila susu anda penuh.

Mengepam kedua-dua payudara pada masa yang sama dapat memaksimakan jumlah susu yang anda pam di samping menjimatkan masa. Ia juga membantu memantapkan bekalan susu anda. Pastikan saiz corong pam tersebut padan dengan anda supaya puting anda tidak tergesel.

Untuk mendapatkan dan mengekalkan bekalan susu yang mencukupi, anda perlu mengepam dengan kerap, sekurang-kurangnya lapan kali dalam masa 24 jam, sehingga bayi anda dapat menyusu secara langsung.

Susu anda boleh disimpan dalam peti sejuk atau peti sejuk-beku dalam bekas bersteril untuk diminum oleh bayi anda kemudian. Mengepam susu mungkin satu tugas yang sukar, dan anda juga mungkin rasa sedih dan kecewa kerana tidak dapat memegang bayi-bayi anda. Tetapi susu badan anda benar-benar membantu membina kekuatan mereka, terutamanya jika mereka dilahirkan pramatang.

Adakah puting saya akan sakit kerana menyusukan dua orang bayi?

Menyusukan anak kembar tidak bermakna anda lebih berkemungkinan mengalami kesakitan pada puting payudara. Kesakitan ini adalah kerana bayi tidak melekap dengan baik, bukannya kerana jumlah bayi yang anda susukan atau berapa kerap anda menyusukan mereka.

Jika puting anda terasa pedih, maklumkan kepada doktor dan mintalah bantuan dalam memastikan bayi-bayi anda dapat melekap dengan betul. Mungkin ada seorang pakar penyusuan di hospital tersebut yang dapat membantu anda dan doktor anda mungkin dapat merujuk anda kepadanya.

Jika anda menyusukan bayi kembar anda secara serentak, cuba susukan mereka secara berasingan sehingga anda arif dan mendapat lebih banyak latihan dalam melekapkan bayi dengan betul. Ini mungkin mengambil masa, tetapi ia dapat membantu menyelesaikan masalah anda.

Jika puting anda sakit atau rosak, anda boleh sapu sedikit lanolin yang ditulenkan, jeli petroleum atau minyak parafin lembut pada puting anda sebaik sahaja selepas penyusuan. Ini akan membantu mengelakkan puting anda merekah akibat kering dan berkerak. Ini juga membantu mengurangkan rasa sakit ketika menyusukan.

Adakah saya akan dapat berehat daripada menyusukan?

Pada hari-hari, minggu malah bulan-bulan yang pertama, keadaan mungkin sukar. Anda perlu memastikan kedua-dua bayi anda melekap pada payudara anda dengan betul, tambahan pula menyusukan dua orang bayi pada masa yang sama bukanlah perkara yang mudah.

Cuba elakkan sikap tergesa-gesa dan ambil peluang apabila bayi-bayi anda sedang tidur. Kerja mencuci mungkin boleh ditangguhkan. Gunakanlah peluang yang ada untuk berehat dan tidur sebentar.

Bagaimana dengan penyusuan di tempat awam?

Anda mungkin tidak selesa menyusukan bayi kembar anda di tempat awam kerana payudara dan perut anda akan lebih terdedah berbanding menyusukan seorang bayi. Anda juga mungkin rasa lebih sukar untuk menyusukan tanpa kusyen, bantal dan kerusi yang biasa anda gunakan di rumah.

Dapatkanlah bantuan rakan-rakan dan ahli keluarga sehingga anda rasa lebih yakin. Anda mungkin lebih suka untuk menyusukan bayi-bayi anda secara berasingan ketika di luar rumah. Tanyalah ibu-ibu lain yang anda kenali mengenai tempat-tempat yang mesra-bayi di mana anda boleh menyusukan bayi anda dengan mudah. Bacalah juga tip-tip ibu-ibu BabyCenter mengenai penyusuan di tempat awam.

Di manakah saya boleh mendapatkan bantuan?

Kumpulan sokongan anda perlu dipersiapkan sebelum bayi kembar anda dilahirkan. Ini termasuklah mengambil pembantu rumah sepenuh masa jika anda rasa ianya perlu. Anda terpaksa menangani banyak perkara selepas bersalin, dan jika ketika itu baru anda hendak memikirkan tentang mencari pembantu, ini hanya akan menambahkan tekanan kepada anda. Mintalah ahli keluarga, rakan-rakan dan jiran-jiran untuk membantu anda dengan tugas-tugas seharian selepas bayi kembar anda lahir. 

Organisasi-organisasi penyusuan badan berikut mungkin dapat membantu anda menghubungi seseorang yang mempunyai pengalaman menyusukan anak kembar.



Sumber: BabyCenter

Panduan Menjaga Anak Kembar



Masa Menyusu
Sebenarnya tidak sukar menyusukan si kembar serentak tetapi lebih baik jika setiap orang mempunyai waktu menyusu yang khusus supaya setiap kembar mendapat perhatian sama.

Cara pertama: 

Peruntukkan 10 minit bagi setiap seorang iaitu selepas menyusukan kembar pertama selama 10 minit, susukan pula kembar kedua selama 10 minit dan ulangi cara ini selama sejam atau sehingga si kembar kenyang.

Namun, jangka masa penyusuan bergantung kepada keperluan bayi anda. Jika kembar yang kuat menyusu mungkin waktu yang diperuntukkan perlu ditambah hingga 15 minit atau setengah jam setiap seorang.

Bagaimanapun, jangan sesekali mengamalkan tabiat menyusukan si kembar hanya apabila mereka menangis kerana ini akan menyukarkan anda untuk melayan kerenah kedua-duanya secara serentak.

Cara kedua: 

Menyusukan kembar pada waktu berasingan. Kaedah ini boleh diamalkan kerana ada pasangan kembar yang mempunyai keperluan susu dan waktu tidur yang berbeza.

Misalnya, kembar pertama mungkin kurang menyusu tetapi kuat tidur manakala kembar kedua, kuat menyusu tetapi kurang tidur.

Di sekitar tempat tidur pula, letakkan semua peralatan seperti lampin, susu, sarung tangan, seluar, sarung kaki, kelambu dan peralatan membancuh susu berdekatan.

Mandi
Jangan mandikan si kembar serentak jika anda bersendirian. Anda boleh mandikan kembar pertama ketika kembar kedua sedang tidur.

Jika bayi kembar anda sudah boleh duduk, mungkin boleh mandikan mereka bersama tetapi jangan sesekali meninggalkan kembar berseorangan dalam besen mandi ketika anda mengelap kembar pertama.

Pakaian
Elakkan daripada terlalu kerap menukar pakaian bayi. Satu lagi, jangan biasakan diri terlalu memikirkan pakaian apa yang perlu dipakai – bereben, berenda, seluar panjang atau pakai baju yang serupa corak dan warnanya. Asalkan ia bersih dan selesa, jangan bimbang.

Bestkan dapat anak kembar.....


Get this widget here
Ruang Iklan Untuk Di sewa