Jumaat, 28 Oktober 2016

Teknik Utama Anak Pandai Mengaji


Seawal-awal umur anak yang mampu dan boleh mengenal serta mengingati huruf ialah dalam lingkungan 3-4 tahun bagi yang tiada langsung menerima dorongan daripada rumah (zero daripada ibubapa). Berbeza bagi yang anak yang selalu menerima pengajaran dan dorongan sejak bayi oleh ibubapa. Lebih awal anak-anak dirangsang, lebih cepat mereka mahir dalam satu-satu perkara. 



Jika kita kerap memberinya mendengar nyanyian Alif Ba Ta, makin cepat mereka belajar mengaji. Pilihan di tangan ibubapa sepenuhnya. Apabila mereka sudah besar, pilihan bukan sepenuhnya lagi milik ibubapa. 

Langkah & Prosedur 

1. Ajarkan anak cilik mengenal huruf hijaiyyah dalam bentuk yang menyeronokkan dan santai melalui penggunaan kad imbas. Tidak perlu terlalu serius hingga harus duduk diam menghadap buku. Boleh dilakukan sambil bermain. 

** Nota tambahan : Jika anak tidak boleh menerimapakai cara kad imbas, sesuatu harus dilakukan oleh ibubapa kerana kanak-kanak normal boleh belajar dan lebih suka belajar menggunapakai kad imbas. Intervensi awal sangat baik untuk diri dan perkembangan pembelajaran anak-anak. 

2. Mengajar sambil membuat cerita dengan imaginasi untuk menjadikan P&P lebih menyeronokkan sama perasaannya seperti menonton kartun atau memberinya makan terlebih dahulu (jika anak masih kelaparan) sebelum mengaji. 

3. Jangan memaksa anak-anak mengaji jika tidak mahu. Dan tidak perlu menggertak mereka. 

4. Beri anak-anak masa dan sedikit ruang untuk mengenali betapa seronoknya belajar Alif Ba Ta dan mengapa mereka perlu belajar membaca Al-Quran bagi orang Islam. 

Tips : Selepas mengajar anak mengenal huruf hijaiyyah yang tunggal sebagai asas bacaan, ajarkan anak bagaimana untuk menulis pula. Dicadangkan penggunaan pensel dan kertas atau papan putih dan marker yang di khaskan untuk mereka bagi tujuan belajar mengaji. Mereka akan menjadi lebih teruja kerana mereka memiliki alatan khas sendiri untuk menulis seperti orang dewasa. 

Melalui hafazan, anak-anak cilik boleh mengenali huruf-huruf di dalam Al-Quran. Melalui hafazan, anak-anak cilik mampu mengingat dan menghafaz kebanyakan Surah di dalam Al-Quran. Hanya melalui tulisan dan hafazan, anak-anak beroleh ilmu melalui pengalaman yang akan memberikan mereka kefahaman yang lebih mendalam mengenai apa yang dihafaznya. 

Jika anak-anak masih tidak suka dan tidak mahu belajar mengenal huruf hijaiyyah, biarkan dia. Ajaknya bermain. Semasa bermain boleh mengajarnya menyebut Alif Ba Ta sehingga Ya bersama-sama. Lebih seronok disampaikan dalam bentuk pengulangan nyanyian yang santai tanpa mengira masa. 

Kesimpulan : 

Untuk anak berumur di bawah 1 tahun, biasakan dia mendengar orang mengaji dan membaca Al-Quran. 

Untuk anak berumur 2 tahun, biarkan dia bermain sambil mengikut bacaan 'rakan sebayanya' (baca : adik beradik) yang sudah tahu membaca. Atau bermain sambil membaca melalui kad imbas. 

Untuk anak berumur 3-4 tahun, apabila sudah mengenal huruf tunggal dan baris-baris asas, mulakan dengan mengajarnya membaca Iqra' atau Muqaddam atau mana-mana buku bacaan yang lain. 

Lihat prestasinya. Jika boleh terus membaca Buku 1 / Iqra' 1, jalan terus! Jika belum, jangan memarahinya kerana tersilap huruf atau tidak tahu huruf. Pandu membunyikan huruf yang betul sahaja. Tidak perlu diperbesarkan kesalahannya. Lama-kelamaan, dia pasti boleh mengingat apa yang betul. 

** Nota tambahan : Asas pembentukan utama bagi anak 0-7 tahun ialah memperkenalkan huruf hijaiyyah (huruf-huruf dan baris yang terdapat di dalam al-Quran bukan huruf Jawi). Pentingnya memperkenalkan huruf tunggal dan baris-baris asas sebagai pelajaran pertama kepada anak cilik. Ini kerana asas bacaan perlu difahami terlebih dahulu sebagai dasarnya. 

Apabila kefahaman sudah kukuh dan teguh, mereka sudah tahu huruf tunggal yang asas berserta tiga baris asas dan fungsinya maka, tiada masalah baginya untuk membaca apa jua jenis kaedah buku bacaan Al-Quran di masa akan datang. Cara/kaedah yang pelbagai yang ada di pasaran sekarang harus datang hanya selepas kefahaman mengenai asas huruf tunggal dan baris-baris yang terlibat diketahui oleh anak-anak.

Teknik asas :
# Tutup‬ mata atas kesalahan, 
# Tidak‬ marah/membebel, 
# Tidak mengkritik, 
# Tidak menghukum/menggertak, 
# Berlemah‬ lembut dan bermain bersama, 
# Tidak memaksa, ‪‎
# Sebutkan‬ huruf dan bunyi yang betul sahaja, ‪‎
# Tunjukkan‬ tulisan yang betul sahaja, 
‪‎# Puji‬ atas kemahuan dan kesungguhannya mengaji dan belajar menulis, 
‪‎# Hargai‬tulisannya walaupun senget dan carca marba.


0 comments :


Get this widget here
Ruang Iklan Untuk Di sewa