Khamis, 11 Disember 2014

Kepentingan Mendidik Anak Dengan Al-Quran Sejak Kecil




Zaman sekarang  manusia hidup bertakhtakan hiburan. Peliknya ada di antara ibu bapa yang suap anak-anak dengan hiburan melampau tanpa kisah dosa dan pahala. Adakah mereka tidak tahu atau pura pura tidak tahu? Ibu bapa yang bangga anak mereka pandai bermain alat muzik, pandai menyanyi di khalayak ramai. Ibu bapa yang bergembira dengan anak mereka yang berpakaian seksi di usia kecil dan memenangi uji bakat yang bertema hiburan juga. Tetapi si ibu tidak tahu bagaimanakah dia ingin memulakan langkahnya untuk menjadikan anaknya seorang yang bergelar ‘hafiz al-quran’?.
 

Berbanding jika ibu bapa tidak dapat mengubah diri sendiri ke arah yang lebih baik, bagaimana pula anak-anak dapat menerima apa yang mereka ajarkan?
Mungkin ramai yang tertanya-tanya dan mungkin juga anda akan ditanya oleh ramai orang “Mengapa perlu mengajar anak hafal Al-Quran dari kecil?” “Mengapa sibuk-sibuk nak ajar anak hafal Quran dari kecil? Ajar ABC kan lagi bagus, cepat anak itu dapat baca buku”



Soalan-soalan berbaur negatif seperti ini kadang-kadang memerangkap kita dan lebih bahaya lagi membuatkan kita menghentikan proses mengajar anak menghafal Al-Quran jika kita tidak mempunyai asas yang kukuh dan matlamat yang jelas! Kerana itulah matlamat dan niat memainkan peranan yang sangat penting dalam hidup. Matlamat yang samar-samar dan kabur akan memerangkap dan menghalang anda mencapai cita-cita.



1- Aqidah Adalah Tunjang Hidup Seorang Insan 

Ya. Akidah adalah tunjang hidup seorang insan. Kalau akidah seseorang itu salah dan rosak, maka sia-sialah hidupnya di dunia dan di akhirat.
Apabila ibu bapa mula mencorakkan anak dengan Al-Quran sejak bayi itu belum lahir lagi, maka InsyaALLAH bayi itu akan dibekalkan dengan akidah yang mantap dan kebal dari sebarang cabaran akidah yang dahsyat pada masa hadapannya.

Ini kerana bayi yang meningkat dewasa itu telah kenal dengan Al-Quran semenjak kecil dan ditemani Al-Quran sejak kelahirannya.



2- Al-Quran Adalah Salah Satu Sumber Perlembagaan Hidup Manusia
Segala urusan hidup manusia wajib berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah.
Sepanjang hidup manusia, mereka perlu merujuk Al-Quran dan as-sunnah untuk mengetahui segala-segalanya.Tanpa Al-Quran hidup mereka akan tersasar dan hanyut dalam lembah kesesatan.Besar kelebihannya jika anak itu sudah kenal dengan sumber perlembagaan Islam sejak dari kecil lagi.



3- Pentingnya Kesedaran Mencorak Anak Dengan Islam Ketika Kecil
 Kesedaran untuk mendidik anak dengan Islam adalah satu anugerah dan pemberian yang besar yang Allah campakkan dalam hati seseorang itu.Bertuahlah anak yang mempunyai ibu bapa yang sedar dengan kepentingan mendidik anak dengan Islam dari kecil lagi dan berusaha untuk anaknya membesar dalam suasana Al-Quran.Al-Quran akan memimpin anak itu ke arah kebaikan sepanjang hidupnya, InsyaALLAH.



4- Ilmu Diterima Sewaktu Kecil Akan Kekal Dalam Fikiran Dan Hati, Berbanding Ilmu Yang Diterima Ketika Dewasa

Usia kanak-kanak adalah usia belajar secara normalnya. Kanak-kanak juga sangat mudah menerima apa yang diajar pada usia kecil kerana mereka tidak mempunyai apa-apa bebanan lagi.Berbanding jika anda ingin mengajar orang dewasa menghafal Al-Quran. Bukan tidak boleh menghafalnya. Boleh, cumanya masa mereka sibuk dengan urusan kerja, mencari nafkah dan bermacam lagi urusan yang sesuai dengan zaman mereka.Malah orang dewasa juga agak liat untuk berusaha untuk menimba ilmu kerana kekangan masa berbanding usia kanak-kanak yang hanya dipenuhi dengan bermain jika tidak disusun dengan baik. Apa yang diajar kepada kanak-kanak juga akan kekal dan diingati sepanjang hidupnya bila diajar setiap hari dengan kerap.

Satu contoh yang mudah, orang dewasa mampu mengingati semula apa yang diceritakan oleh ibunya setiap kali sebelum tidur ketika zaman kanak-kanak.

Begitu juga dengan Al-Quran, kanak-kanak akan ingat sepanjang hidupnya bila mula diajar sejak dari kecil.



5- Satu Usaha Untuk Menghindarkan Anak Dari Masalah Ketika Remaja

Mengajar anak dengan Al-Quran merupakan salah satu langkah untuk menghindarkan dirinya dari masalah-masalah ketika meningkat remaja dan dewasa.

Zaman remaja yang penuh dengan ujian dan pancaroba perlu ditempuhi semua orang. Tanpa senjata iman yang kuat, seorang itu mungkin kecundang dan tewas.Justeru, ibu bapa perlu mempersiapkan anak mereka dengan senjata Al-Quran sejak dari kecil supaya mereka berjaya menempuh zaman remaja yang penuh dengan perangkap dan tipu daya yang maha hebat. Bukan saya nak nafikan ada juga orang yang hafal Al-Quran yang bermasalah pada usia remajanya.Tapi apa salahkah jika kita berfikiran positif dan tidak hanya memandang yang negatif sahaja.

Jika ditakdirkan dia gagal juga, maka itu adalah takdir dan ujian Allah. Yang penting kita sudah berusaha.



6- Peluang Keemasan Sementara Capacity Akal Kanak-Kanak Masih Kosong.

Mengajar anak dengan Al-Quran sewaktu kecil bermakna anda telah menggunakan peluang keemasan dengan sepenuhnya.Ya. Ketika kanak-kanak masih bayi, akal mereka masih kosong, masih belum diisi dengan apa-apa memori lagi. Dengan apa yang anda ingin isi memori anak ituMulakanlah dengan Al-Quran kerana ia akan menjadi penyuluh hidup anak itu dan juga membawa kejayaan di dunia dan di akhirat.



7- Mengikat Hubungan Kekeluargaan Dan Penyelesaian Masalah

Adakah anda percaya Al-Quran dapat mengikat dan mengeratkan hubungan kekeluargaan?Sudah tentu begitu bila ibu bapa setiap hari bersama anak mereka semenjak dari kecil dan mengajar Al-Quran, tentu hubungan mereka akan kukuh dan erat.




sumber:Islamic Parenting

0 comments :


Get this widget here
Ruang Iklan Untuk Di sewa