Jumaat, 10 Oktober 2014

Kisah Puan Lina Karim

Mari Kita ikuti kisah Puan Lina Karim dalam membesarkan anugerah tidak ternilai dari Allah swt iaitu Darwisy dan Darwisya  semoga menjadi panduan dan pedoman buat kita semua dalam membesarkan anak-anak yang merupakan saham kita di akhirat kelak. InsyaAllah

KISAH PUAN LINA KARIM



Darwisy dan Darwisya

Bukan mudah untuk saya mendapatkan 2 cahaya mata yang ada ini. Saya menunggu selama 7 tahun untuk mendapatkannya. Sebagai anak yang sulung dalam keluarga, tentu sahaja perasaan itu meluap-luap setiap kali adik-beradik dan sahabat yang lain yang sudah berkahwin menambah cahaya mata dalam keluarga mereka.Dahulu saya fikir perasaan itulah yang menyebabkan saya berselisih pendapat dengan suami dalam banyak perkara. Yang menjadi lebih teruk bila perselisihan ini melibatkan keluarga pula. Hampir sahaja rasanya perkahwinan saya diambang kemusnahan. Rupa rupanya Allah ingin mengajar saya satu ilmuNya dengan pengalaman tersebut. Seorang ustaz, kawan baik kepada suami saya memaklumkan kepada kami bahawa saya telah disihir oleh seorang lelaki untuk kami bercerai. Saya tidak percaya pada mulanya bila diberitahu suami.

Saya bukanlah jenis yang mempercayai secara terus akan perkara ini pada waktu itu. Mungkin kerana pendidikan saya yang dari sekolah hinggalah ke peringkat Universiti pengkhususan dalam bidang sains yang lebih melihat kepada bukti fizikal yang boleh dilihat dengan mata menyebabkan saya sukar untuk memahaminya ia berlaku pada diri saya. Lebih lagi saya mempunyai sindrom ‘Ia hanya berlaku pada orang lain dan tidak akan berlaku pada diri saya’ menyukarkan lagi untuk saya mempercayainya berlaku pada diri saya. Sebagai menjaga hati suami saya mengikutnya untuk berjumpa ustaz dari Pusat Perubatan Islam yang agak terkenal di Malaysia ini. Di dalam sesi tersebut, saya melihat ustaz tersebut ‘berbual’ dengan jin dan bertanya soalan kenapa dan mengapa mereka mendekati dan ‘mengawal’ diri saya. Apa tujuannya dan atas arahan siapa? Semuanya terjawab dan terjadilah ‘pergaduhan’ dan ‘pembunuhan’ jin dan manusia dengan menggunakan ayatul kursi diikut dengan ayat-ayat lain. Ia memang diluar kemampuan akal untuk difikirkan. Tetapi itulah pengalaman saya. Ustaz tersebut mengingatkan saya bahawa walaupun ketika itu ianya dirasakan selesai, beringatlah kerana sihir yang baru boleh didatangkan semula. Maka, kuatkanlah amalan diri saya sendiri. Memang benar kejadian itu berulang lagi. Bayangkan berapa kalilah mahu kita berulang untuk berubat jika diri sendiri tidak kuat? Orang yang menyihir tidak pernah penat kerana mungkin kemahuan yang kuat.

Kejadian itu menyedarkan diri saya betapa saya sangat alpa. Saya sebenarnya orang yang jahil. Orang yang lalai. Orang yang leka dan rugi. Kurang sekali saya mengingati Dia. Kurang sekali saya mengingat hidup ini bukan hanya disini. Saya dengan dunia saya dengan pandangan yang sangat dangkal. Saya adalah seorang yang lupa musuh-musuh keturunan manusia. Musuh yang tidak boleh dilawan dengan hanya kekuatan akal tetapi perlu dengan kekuatan hati yang penuh iman pada Allah. Dari situlah bermula titik tolak saya menghampiriNya. Saya tidak lagi menginginkan apa yang saya inginkan sebelum ini. Saya sudah redha dengan ketentuan Allah jika Dia menentukan saya tidak punya zuriat yang datang dari rahim saya ini.
Sudah sebulan berlalu dari masa saya menemui ustaz yang menolong menyelesaikan masalah sihir dengan izin Allah yang dibawa oleh jin. Sudah sebulan juga saya seolah melalui hidup di ‘dunia baru’ saya yang lebih tenang. Sesuatu yang tidak biasa saya rasakan berlaku pada diri saya. Saya menemui doktor dan mengesahkan saya hamil!

Suatu keajaiban! Allah menghadiahkan saya zuriat setelah 30 hari saya menyerahkan diri saya kepadaNya. Ini adalah bayi yang saya tunggu dengan segala usaha yang melelahkan sebelum ini. Katalah apa sahaja yang membolehkan kami mendapat zuriat, segalanya kami cuba. Namun Allah tidak mengizinkan sehinggalah saya menyerahkan diri saya padaNya.

Bagi saya, ia adalah takdir yang seterusnya menentukan perjalanan anak saya ke tahap ini. Permulaan yang penuh kesedaran kepadaNya menyebabkan saya sangat berhati-hati semasa dalam tempoh kehamilan itu. Rasa syukur yang tinggi menyebabkan saya mahu melakukan apa sahaja untukNya. Saya sedar bahawa apa sahaja boleh berlaku pada kandungan dan tidak semestinya semua kehamilan itu akan berakhir dengan kelahiran seorang bayi yang dinantikan itu. Maka pergantungan yang kuat dan tinggi terhadap Allah yang tidak pernah saya lakukan dalam hidup, saya lakukan dengan taksub ketika itu.
Jika diperhatikan, tidak semua ibu hamil mempunyai emosi yang sama dalam mengharungi kehamilan. Ada yang merungut dengan kehamilan yang menambah satu lagi mulut untuk disuap dalam keluarga, ada yang ‘biasalah adat orang berkahwin’ mestilah mengandung dan dapat anak, ada yang kehamilan itu satu yang sangat dinantikan dan sebagainya. Keadaan ini memberi impak pada perasaan bayi. Samaada mereka ini dimahukan, tidak diperlukan, kedatangan mereka itu menyusahkan atau menggembirakan semuanya akan memberi kesan kepada bayi. Fikiran yang tercetus dalam minda kita akan mengeluarkan cetusan elektrik antara neuron dan signal ini akan sampai pada bayi dalam kandungan pada kadar yang sangat cepat.

Berbalik kepada diri saya, setelah kawan saya mengetahui saya mengandung, mereka menghadiahkan sebuah set CD lagu Mozart untuk diperdengarkan kepada anak saya. Saya berada dalam lingkungan kawan yang agak modern dan mereka tidak tahu akan perubahan kerohanian yang berlaku pada diri saya. Saya masih kelihatan seperti biasa pada mereka. Lagu Mozart tersebut tidak pernah sekali pun saya buka setakat saya menulis ini. Ia masih tersimpan dengan baik. Telinga saya sudah tidak boleh menerima lagu. Saya lebih suka mendengar al Quran ketika kemana-mana memandu kereta. Selalu juga saya menangis ketika mendengar alunan al Quran dan saya tidak tahu sebabnya. Maka saya ingat ayat apa yang saya tangiskan itu, bila saya sampai dirumah saya akan mencari terjemahannya. Saya tidak tahu kenapa saya menangis mendengar kerana tidak faham apa yang dibacakan tetapi bila balik saya merujuk semula ianya adalah tempat yang layak untuk ditangisi. Janganlah kita memandang rendah melihat orang menghafal al Quran tanpa tahu maksudnya kerana dengan kehendak Allah tanpa tahu itu juga boleh menyentuh hati untuk mengeluarkan air mata.

Satu sifat saya adalah saya lebih suka duduk berseorangan dari keluar bersama kawan. Ya, sebenarnya, saya lebih suka bersendiri dan tidak gemar berkawan samada dialam nyata atau dialam maya (internet). Walaupun zaman saya, emel dan facebook telah pun wujud, saya memilih untuk menyendiri dengan erti kata yang sebenar. Lebih suka duduk dirumah dari bersidai di tepi tepi pagar atau di tembok rumah mahupun bertandang ke rumah jiran. Ia bukanlah satu perkara yang saya gemari kecuali ada urusan yang penting dan mustahak. Saya mempunyai kawan yang boleh dikatakan setiap minggu ada ‘womens day out’ dimana mereka berkumpul dan berbual santai bersama-sama, samada dirumah atau di cafĂ©. Mereka tidaklah melakukan apa-apa yang salah, namun dibelakang minda saya, ianya adalah suatu yang membuang masa. Benar, ia boleh menjalinkan ukhuwah sesama wanita Muslim yang lain. Namun ia akan mengundang pelbagai masalah lain. Jika berjumpa dirumah masing-masing akan menjadi fitrah mata wanita yang mahu melihat perhiasan dan cara hias menyebabkan kita tidak senang duduk selagi tidak boleh melihat seluruh rumah. Jika hiasan mereka lebih baik daripada kita, kita akan terpesona dan teringin untuk memiliki yang serupa. Jika perhiasan mereka kurang baik pula, akan timbul rasa bangga dalam diri kita. Ia akan menimbulkan rasa membanding dan berbanding dengan diri kita sendiri. Lihat sahaja ditempat kerja sewaktu kita keluar makan tengahari bersama kawan-kawan, waktu itulah cerita rumahtangga akan keluar untuk mereka yang sudah berkahwin. Si A akan berkata, suaminya orang yang sangat mudah dan tak cerewet; pergi ke pejabat dengan baju yang digosok sendiri, makan apa yang ada dan kadang-kadang suaminya yang memasak sendiri. Yang B pula komplen menggosok bertimbun-timbun setiap cuti hujung minggu. Suami dia tidak mahu makan diluar dan hanya mahu makan masakan tangannya menyebabkan dia memuji suami si A. Berjumpa dengan kawan-kawan diluar waktu pejabat bukan seperti berjumpa di bilik mesyuarat dimana kita tahu minit dan objektif yang perlu dibincangkan sepanjang mesyuarat. Kita akan diingatkan jika apa yang dibincangkan lari dari fokus dimana ianya jarang berlaku jika kita sudah biasa dengan dunia korporat. Diluar, wanita akan berjumpa tanpa ada apa-apa agenda untuk dibincangkan sebelum berjumpa. Terserah pada arah angin untuk membawa perbincangan ke mana pada hari tersebut. Ia mungkin boleh membawa kepada mengumpat atau fitnah yang diluar kawalan kita. Jika kita cuba bagaimanapun untuk menjaga diri daripada mengumpat, akhirnya kita akan terjebak juga dalam fitnah dan umpatan sebagai pendengar kepadanya.

Maka sebab itu saya sering mengelak jika diajak hingga akhirnya saya digugurkan dari senarai ‘kumpulan’ mereka.Hidup saya yang biasa berseorang jika tiada suami disisi, menyebabkan rasa keseorangan itu lebih manis setelah mengenal Allah dengan erti kata sebenar. Saya bukanlah orang yang beruntung yang mempunyai latar belakang keluarga yang kuat agama. Tiada seorang pun hafiz atau hafizah dalam lingkungan saudara mara saya setakat ini. Suami pula seorang yang berketurunan Cina. Ibunya seorang mualaf berketurunan Cina. Nenek saya seorang buta huruf tidak tahu membaca apa-apa tulisan termasuk al Quran. Kami bukanlah pasangan yang ideal untuk melahirkan hafiz atau hafizah mengikut kacamata manusia. Genetik kami tiada yang tersangkut kearah itu. Saya telah membaca buku “10 bintang’ sebuah buku dari Indonesia yang menceritakan tentang pasangan suami isteri yang berjaya mendidik 10 orang anak mereka menjadi hafiz/hafizah. MasyaAllah, memang sangat sesuai penceritaan takdir mereka seperti itu kerana mereka sendiri datang dari keluarga yang kuat perjuangan dan pegangan agamanya. Begitulah ceritanya bagi mereka yang digelar ilmuan hebat dizaman kegemilangan Islam dahulu. Mereka datang dari keluarga yang kuat agamanya. Jauh sekali jika dibandingkan diri saya yang baru sahaja belajar untuk menghampirNya.

Namun saya berpegang kuat bahawa… ‘Jangan berpandangan dangkal atau pendek’. Pandanglah sejauh yang mampu. Kita adalah berketurunan nabi-nabi. Kita adalah keturunan orang-orang yang soleh. Semua kita adalah dari bapa dan ibu yang sama. Adam dan Hawa. Genetik mereka berdua ada dalam diri kita. Maka jangan berdalih dengan keturunan dan genetik’.

Saya masih ingat pada hari raya tahun 2011 ketika perjumpaan dengan saudara mara saya di Kuala Lumpur, salah seorang dari saudara kami, memang kami kenali sangat berminat mengkaji tentang keturunan keluarga besar kami ini. Dia telah merantau hingga ke tanah seberang mencari susur galur kami yang ramai. Akhirnya pada tahun itu kami diberitahu bahawa keturunan ke 7 sebelum kami adalah seorang wali yang agak dikenali di Indonesia. Dia selalu datang berdakwah di Tanah Melayu dan bila tiba di Kuala Selangor dengan kapalnya, dia akan disambut oleh orang disitu dengan majlis besar besaran. Kemudian dia menyebarkan ilmunya setiap hari dan setiap malam pada orang kampung. Begitulah ceritanya. Tetapi bagaimana pula nenek saya yang lebih dekat dengan keturunan ke 7 buta huruf?; tidak boleh membaca al Quran, jika benar dia juga berketurunan sama? Jawapannya, berbalik kepada ibunya yang tidak mengajarnya. Bapanya memang berilmu tinggi, tetapi ibunya pula adalah tidak. Maka, nenek saya, iaitu anaknya tidaklah mempunyai keistimewaan menjadi orang yang bijak dan berilmu saperti bapanya hingga dia seorang yang buta huruf sehingga ke akhir hayatnya. Ini menunjukkan ilmu itu bukanlah boleh diperturunkan ‘hanya’ disebabkan dengan keistimewaan darjat kewalian; tetapi, ilmu itu akan turun dengan usaha kita sebagai ibubapa untuk menurunkannya kepada anak kita. Saya ingatkan lagi sekali, bahawa setakat ini, tiada saudara mara saya samada dekat atau jauh yang bergelar hafiz atau hafizah. Alasan ini tidak sekali-kali menghalang saya untuk memulakannya dengan zuriat dari rahim saya ini. InsyaAllah saya akan pastikan anak cucu keturunan saya antara mereka yang dipilih oleh Allah untuk menjadi ahliNya selagi diri ini bernafas. Itulah jihad yang mampu saya lakukan untuk membuktikan cinta saya kepadaNya. Saya pasti anda yang membaca ini juga adalah dari keturunan yang pernah dikagumi kealimannya kelurga terdahulu. Cumanya anda tidak tahu tentangnya kerana tiada siapa mengkajinya. Paling jauh keturunan yang ke 7 sebelum anda. Sejahat mana kita, ada roh kenabian yang tersembunyi didalam diri yang pernah dimiliki pada keturunan sebelumnya. Semoga para alim ulama keturunan kita yang terdahulu yang pergi menghadap Ilahi sebelum kita akan tersenyum melihat keturunan mereka yang semakin menyimpang ini, kembali ke pangkal jalan dengan usaha kita yang sedikit ini.
Ada yang lebih memeranjatkan lagi bila berbincang tentang keturunan. Percayakah kita, jika saya kongsikan kita juga berketurunan bersusur galurkan dari Nabi Ibrahim a.s? Nabi Ibrahim yang berumur sangat panjang dan sangat jauh berjalan berdakwah, telah sampai ke negeri Champa dan berkahwin dengan seorang wanita Champa yang bernama Qanturah. Kisah Qanturah ini dicatit dalam kitab asli Injil. Mereka dikurniakan beberapa orang anak dan akhirnya menjadi keturunan yang bertebaran di Timur peta dunia sekarang ini. Isteri Nabi Ibrahim, Hajar dan Sarah masing-masing melahirkan seorang Nabi. Kehebatan keturunan Qanturah pula mungkin ditakdirkan untuk bersama umat Nabi Muhammad yang akan bersama sebagai bangsa Timur yang diberitakan oleh Rasulullah s.a.w. Wallahualam.

Cerita ini mungkin akan mengundang banyak kontroversinya. Saya percaya ada yang ingin membidas saya akan tentangnya. Kesimpulan yang ingin saya sampaikan adalah… apa yang akan terjadi pada masa hadapan tidaklah dalam genggaman kita tetapi apa yang terjadi pada masa lalu adalah pasti. Percayalah bahawa setiap kita mempunyai potensi menjadi orang soleh/solehah. Kita boleh melahirkan anak yang soleh/solehah. Kita boleh mewujudkan keluarga yang alim dan tinggi ilmu mentaati Allah. Saya percaya akan genetik ini ada pada setiap diri kita. Cuma ia terpendam tanpa sesiapa yang mencari gali didalam diri mereka. Ibarat satu cerita seekor helang yang mengeram telurnya di atas tanah tinggi dan pada suatu hari terjadi gegaran gempa bumi menyebabkan ianya bergolek ke lembah dan dijumpai oleh seekor ibu ayam. Ibu ayam itu berfikir telur itu mungkin kepunyaannya yang terkeluar dari tempat eraman kerana gegaran tadi. Maka dia berusaha untuk meletakkan balik telur burung helang itu bersama telur ayamnya yang lain dan mengeramkannya hingga satu tempoh penetasan. Bila tiba masa menetas, keluarlah anak helang ini bersama anak ayam yang lain. Mereka membesar bersama dan setiap kali anak ayam dan anak helang ini melihat burung berterbangan di awan biru, mereka selalu berkata kepada sesama mereka, ‘betapa seronoknya dan betapa bebasnya jika kita dapat terbang tinggi seperti itu!’ Begitulah mereka sehinggalah semuanya menjadi dewasa. Ya, helang tersebut membesar dengan kekaguman pada spesisnya sendiri yang terbang bebas diangkasa, dan dia dibumi cuma mengangankan sahaja tanpa sedikit pun berusaha untuk mencubanya.Paradigma dan ‘ mental block’ mengabusi potensi sebenar.

Kita tak mahu jadi helang yang berfikiran ayam. Kita adalah manusia terpilih. Berusahalah untuk terbang seperti helang yang genetiknya difitrahkan Allah untuk melayari bayu tinggi bebas diangkasa. Lakukan peralihan paradigm.

0 comments :


Get this widget here
Ruang Iklan Untuk Di sewa