Ahad, 24 Ogos 2014

Anak Yatim Palestin



Terdapat tentang usaha satu badan NGO untuk membawa anak yatim Palestin ke Malaysia. Memang ramai yang berminat. Saya percaya ini adalah disebabkan oleh rasa kasih sayang, perasaan ingin membantu dan kasihankan mereka. Apa lagi setiap hari kita dipaparkan di laman media dengan wajah-wajah comel mereka dibedil oleh Yahudi yang tidak berhati perut. Mereka hidup dalam keadaan yang penuh dizalimi.

Palestin adalah satu bangsa yang kuat. Bangsa yang diuji yang mewakili seluruh masyarakat Islam dimuka bumi. Mereka adalah satu bangsa yang "hidup nekad, mati berjihad" kerana mereka sangat dekat dengan kematian setiap hari. Tiada masa untuk mereka lalai, lupa atau leka. Samada untuk diri sendiri atau dalam mendidik anak anak mereka.

Berbeza dengan kita yang sentiasa lengah dan leka.  Bila anak merajuk tidak dibenarkan bermain ipad atau gadjet, ibubapa minta diberi satu dua ciuman, kemudian memberinya semula. Jika tidak dibenarkan menonton TV, mereka menangis mengamuk, kerana tidak mahu ianya berpanjangan, mereka bukakan TV itu semula. Jika disuruh mengaji, mereka tidak peduli, ibubapa berkata "Tidak mengapalah.. badan pun dah letih ni"

Bagi saya bukan anak Palestin yang perlu kesini tetapi ibubapa sini yang perlu untuk ke sana. Perlu untuk menerima tarbiah secara langsung tentang kehidupan yang makin suntuk masanya ini. Tiada lagi masa untuk lalai dan leka. Supaya mereka menghayati pentingnya mendidik generasi ditangan mereka itu yang akan bangkit membantu kebangkitan Islam akan datang.

Mungkin bangsa Palestin adalah bangsa yang diuji, dan kita pula adalah bangsa yang membantu yang sedang diuji? Tidak mustahil bagi Allah. Allah pernah memilih bukan Arab - Salahuddin Al Ayubbi, yang menjadi pembebas Palestin satu waktu dahulu, maka tidak mustahil ianya terjadi sekali lagi iaitu datang dari yang bukan Arab. Kita tidak boleh mengubah dunia diluar tetapi kita boleh mengubah dunia milik kita - iaitu diri kita, anak-anak kita, keluarga kita. Dunia akan bertindak mengikut apa yang telah kita ubah ini kemudiannya nanti.
Beruntunglah ibubapa yang mempunyai hati yang berada di Palestin tetapi tubuh berada di Malaysia. Itulah kita.  Itulah dia ubat kepada leka dan lengah dalam mendidik anak. Semoga kita punya semangat berjuang dalam mendidik anak-anak dan beruntungnya kita disini adalah kerana kita diberi Allah kebebasan untuk membuat pilihan memberi yang terbaik kepada anak-anak. Tidak seperti ibu-ibu di Palestin yang serba kurang dan serba terbatas. Hargailah kelebihan yang Allah beri pada kita disini.

0 comments :


Get this widget here
Ruang Iklan Untuk Di sewa