Rabu, 12 Mac 2014

Jangan Sekat Perkembangan Anak




“Haikal, jangan kutip mainan. Kotor!”
“Dania, jangan lari. Jatuh!”
“Hakim, jangan panjat, nanti jatuh!”
“Biar Ibu dukung saja. Kotor nak merangkak kat situ.”

Berikut antara dialog yang sering diucapkan oleh sesetengah ibu terhadap bayi kecilnya yang semakin lasak dan aktif.  Melihat caranya melayan bayi, kita boleh membuat kesimpulan si ibu terlalu melindungi anaknya.

Memang benar, sebagai ibu kita mahu memberikan yang terbaik kepada anak dan mahu melindungi mereka daripada ancaman bahaya tetapi kadang kala tanpa disedari, kita juga menjadi penghalang terbesar kepada perkembangan positif anak.

Secara semula jadi, bayi kecil akan mula meneroka dunia sekelilingnya dalam proses tumbesaran yang aktif. Mereka belajar daripada persekitaran. Ia membantu perkembangan positif anak menjadi lebih mahir dan cekap mencapai perkembangan kemahiran motor mereka seperti meniarap, merangkak, duduk, berdiri dan berjalan.

Pelbagai halangan dan perlindungan yang keterlaluan hanya akan menyekat keinginan semula jadi anak untuk meneroka dan belajar. Tanpa disedari, kita sendiri yang menghalang proses pertumbangan anak bahkan mengganggunya membesar sebagai anak yang kreatif dan inovatif kelak.

Terlalu melindungi

Sikap tidak mahu anak terdedah kepada bahaya memang sikap pelindung ibu dan ayah. Namun jika kita keterlaluan tidak mahu anak berada dalam keadaan berisiko, anda sebenarnya telah menanamkan perasaan rendah diri, penakut dan sombong dalam diri anak anda sejak dia kecil lagi.

Cepat beri bantuan

Jika anak anda sedang dalam proses belajar kemahiran motor seperti duduk, berdiri atau berjalan. Biarkan sesekali dia melakukan kesilapan dan merasakan kesakitan. Jangan terlalu cepat memberikan bantuan. Ia hanya akan membuatkan anak anda mudah lemah semangat dan cepat berputus asa kerana tahu ibu ayah akan datang membantu.

Cair dengan anak

Kadang kala sikap kita sebagai ibu bapa terlalu mudah ‘cair’ dengan anak-anak. Biarpun mereka melakukan kesilapan, dengan membuat mimik muka comel, ia sudah cukup membuatkan kita mudah memaafkan kesilapan mereka. Seharusnya kita tegas dengan pendirian kita sebagai ibu bapa. Kata orang melentur buluh biar dari rebungnya.

Cakap tidak serupa bikin

Walaupun anak anda masih usia bayi tetapi mereka memerhatikan tingkah laku anda. Oleh itu pastikan anda memberikan mereka contoh yang baik dalam urusan mendidik mereka. Jangan terkejut jika satu hari nanti anak anda meniru perbuatan buruk anda. Misalnya bercakap kasar atau suka menjerit. TIdak mustahil si kecil juga akan pandai menjerit dan bercakap kasar bila tiba saatnya nanti.

http://pama.karangkraf.com/

0 comments :


Get this widget here
Ruang Iklan Untuk Di sewa