Rabu, 19 Mac 2014

Iktibar Pesawat MH370



Seluruh dunia dikejutkan dengan kehilangan pesawat MH370 berserta 239 penumpang dan anak-anak kapal. Suatu takdir yang sukar diterima terutama oleh ahli keluarga mangsa. Walaupun berbagai teori diusulkan, hakikatnya terpaksa diterima bahawa ianya adalah ujian daripada Allah swt.

Semoga berada dalam keadaan baik dan ceria bersama keluarga serta dijauhkan dari sebarang musibah dari kita semua. Alhamdulillah kita diberi nafas, kesihatan dan keselamatan lagi. Sekarang dimana-mana sahaja sedang sibuk dengan cerita pesawat MAS  MH370. Sudah lama saya tidak menonton TV... sekarang dah buka TV. Dah lama saya tak tengok status FB, sekarang melihat status FB (dengan kerap sekali pula tu!). Anak bercakap dengan saya ketika saya melopong menonton TV, saya kata "shhhhh...ibu nak dengar ni" sambil jari telunjuk letak di bibir kerana mahu betul-betul menadah telinga untuk mendengar siaran langsung press conference yang sedang dikaca TV.  MasyaAllah.. keluar sahaja perkataan itu dari mulut saya, saya terkedu sendiri. Kenapa saya berkata begitu dengan anak yang didepan mata? Kenapa rutin harian saya tidak menjenguk media telah bertukar sejak berita itu. Sepatutnya, musibah yang terjadi pada pesawat itu menyebabkan kita lebih dekat kepada Allah, lebih menghargai apa yang kita ada... terutama anak-anak kita yang akan menjadi penolong dunia akhirat kita. Kita terlupa walau bagaimana asyiknya kita menjenguk mencari khabar terbaru dan terkini, khabar itu akan mengikut 'takdir' yang telah ditetapkan akan berlaku mengikut kehendakNya. 
Makin kita jenguk media, makin banyak keburukkan, kelemahan dan tuduhan pelbagai yang kita baca. Makin bertambahlah dosa. Dosa mengumpat fitnah situkang beri dan situkang dengar/baca sama sahaja. Astaghfirullah.. 
Berserahlah pada takdir Allah.. selepas BERDOA dan BERUSAHA! Itu lebih baik daripada hanya terjenguk-jenguk mencari berita. Kadang-kadang kita terlupa disebalik keriuhan dan perlu kesunyian bersamaNYa untuk menyedarkan kita dari kelekaan. 
Berbalik kepada anak, saya tutup kaca TV dan mula menceritakan apa terjadi. MasyaAllah.. rupanya mereka sudah mengetahui tentangnya dan mengeluarkan pelbagai teori tersendiri dengan pendapat berbeza yang boleh dikatakan ada logik dan ada jugak kurang logiknya. Hmm.. masa untuk memperbetulkan teori mereka dengan logik dan kerohanian. Berbincang dengan anak lebih baik dan bermanfaat  dari berbincang di atas papan kekunci komputer. Hikmah yang hanya akan terlihat jika kita mencari hikmah itu dan tidak sibuk mencari yang lain.

Sebagai tanda simpati dan sokongan, marilah sama-sama kita berdoa untuk misi pencarian MH370. Setidak-tidaknya tambah sedikit pada doa harian kita selepas solat, agar misi berjalan lancar dan 239 orang yang terlibat kembali dengan selamat. Lupakan berbagai spekulasi, yakini kekuasaan Ilahi.

Semoga sumbangan doa kita yang sedikit ini dapat menarik belas Rahim Allah swt dan memberi keputusan yang terbai, di samping menjauhi kita daripada sebarang musibah.

0 comments :


Get this widget here
Ruang Iklan Untuk Di sewa