Semua
ibubapa bersifat ingin melindung anak sendiri. Ia adalah sesuatu yang
bersifat semulajadi. Kalau boleh kita mahu setiap langkah anak kita
berada diluar dari rumah kita, tanpa kita disisi.. mereka sentiasa
selamat dari semua yang boleh merosakkan. Tetapi bagaimanakah kita mahu
memastikannya? Mungkin ada yang tidak bersetuju dengan saya jika saya
katakan kita perlu mengajar anak dalam memilih kawan.
Ada
yang berkata biarkan mereka berkawan dan jika kawan yang dikawannya itu
tidak baik, doakan supaya kawannya itu berubah menjadi orang yang baik,
semoga kemudian anak kita akan menjadi baik juga. Bermakna ini adalah
usaha satu hala. Kita tidak memberikan mereka ilmu mencari kawan,
mengingatkan mereka tentang syaitan yang sentiasa mencari jalan cara
untuk menyesatkan mereka melalui 'pengaruh kawan' dan kita hanya
mengharapkan yang terbaik dengan hanya berdoa.
Allah juga telah memperingat dan mengisyaratkan manusia dalam usaha mencari kawan, antaranya firman-Nya yang bermaksud:
“Wahai orang yang beriman! Bertakwalah dan hendaklah kamu BERSAMA-SAMA ORANG YANG BERSIFAT BENAR.”
(Surah at-Taubah, ayat 119)
Pertama, kita sebagai ibubapalah yang sepatutnya menjadi kawan terbaik
dalam hidup anak kita bermula dari mereka masih kanak-kanak hingga
menginjak ke zaman alam remaja. Jika kita tidak dapat meminjamkan 'masa', 'telinga' dan 'mata' kita
untuk anak, maka jangan salahkan mereka untuk mencari kawan diluar dan
akhirnya lebih mempercayai kawan mereka daripada kita sendiri. Cerita
Nabi Yusuf adalah contoh terbaik dalam peranan ibubapa dalam menjadi
kawan baik kepada anaknya. Orang pertama yang Nabi Yusuf ceritakan
perkara yang mengganggu fikirannya, bukanlah kawan sepermainannya tetapi
bapanya iaitu Nabi Yaakob. Dari situ kita tahu hubungan bapa dan anak
ini telah lama dibentuk dan ianya berlandaskan kepercayaan antara satu
sama lain.
Didalam surah Yusuf dan Surah Luqman, ada banyak pengajaran tentang
Parenting/Keibubapaan. Ia bukanlah hanya satu cerita lama yang berlaku
di zaman dahulu kala. Ia sangat relevan dalam konteks mendidik anak
dizaman ini.
Mengajar anak dalam mencari kawan yang baik adalah seperti mengajar
mereka LIFE & SOCIAL SKILLS. Saya sentiasa menasihatkan anak-anak
saya tentang kawan sejak dari kecil, sejak mereka 3-4 tahun, sejak
mereka tidak tahu apa-apa lagi tentang kehidupan. Bila mereka berjumpa
dengan kawan baru, pengalaman baru atau apa sahaja, pasti mereka balik
bercerita tentang kawan mereka dengan saya. Walaupun ada kalanya cerita
mereka itu ada yang pahit untuk didengar, tetaplah bersama mereka hingga
habis mereka meluahkannya. Kemudian barulah nasihatkan mereka cara
berlapik dan halus.
Diriwayatkan oleh Al-Bukhari & Muslim, sabda Rasulullah s.a.w:
Perumpamaan teman yg baik & teman yang tidak baik adalah umpama
wangi-wangian dan tukang besi. Adapun berkawan dengan pembawa
wangi-wangian, sama ada dia memberinya sedikit ataupun kamu akan membeli
daripadanya sedikit ataupun dapat mencium daripadanya bau yang wangi
itu. Manakala berkawan dengan tukang besi, sama ada dia membakar bajunya
ataupun kamu akan mencium dairpadanya bau-bauan yang busuk.