Keistimewaan Anak Perempuan

Besar pahalanya menggembirakan anak perempuan.

Kanak-Kanak Overdose Vitamin

Jadilah sahabat dan pendengar untuk anak anda.

Resepi Bayi

Resepi Menyediakan Makanan Anak Kecil Anda

Genius

Bagaimana anak-anak mempraktikkan perkara dan berfikir secara kritis dan kreatif

Bestnyer Main Buih Sabun

Rangsang perkembangan minda dengan main buih sabun

Impak Kem Motivasi

Impak positif daripada kem motivasi

Senarai Simple Recepi For Breakfast

Pelbagai variasi senarai resepi ringkas

21 Tempat Menarik Di Malaysia

Tempat menarik untuk honeymoon, famili day, release tension dsb

Ahad, 30 Mac 2008

Makanan Pelengkap : Adakah Bayi Anda Sudah Bersedia?

Memulakan makanan pelengkap merupakan cabaran buat anda dan bayi anda. Anda juga mungkin turut merasa tekanan daripada orang tua atau kawan-kawan yang meminta anda memberi makanan pejal kepada bayi anda sebelum umur yang sepatutnya.
Tanda-tanda Bayi Anda Sudah Bersedia
Jika bayi anda telah mencapai umur empat bulan (bayi menyusu susu formula) dan enam bulan (bagi bayi menyusu susu ibu secara eksklusif) dan mempunyai tanda-tanda berikut, maka anda bolehlah mula memberinya makanan pejal :

• Kepala bayi tegak dan tidak bergoyang ketika dalam keadaan badannya tegak.
• Boleh duduk dengan sedikit sokongan daripada orang dewasa.
• Berat badannya sekurang-kurangnya dua kali ganda daripada berat lahirnya.
• Menunjukkan tanda-tanda lapar walaupun telah disusukan lapan hingga sepuluh kali.
• Menunjukkan minat terhadap makanan yang dimakan oleh orang dewasa.
• Bayi anda juga mungkin akan cuba untuk mencapai makanan yang sedang anda makan.
• Tidak menolak dengan lidah atau meluahkan makanan yang disuapkan ke mulutnya.
• Boleh mengunyah dan menelan dengan baik makanan yang disuapkan.
• Bayi boleh memegang makanan dengan tangannya.

Kenapa Perlu Tunggu?

Kebaikan Untuk Bayi :
• Sistem penghadaman bayi yang berusia kurang enam bulan belum matang dan dia tidak dapat menghadam makanan dengan sempurna menyebabkan masalah seperti bayi muntah, sembelit dan juga cirit-birit.
• Lebih awal bayi diperkenalkan dengan makanan lain selain daripada susu ibu, lebih mudah bayi tersebut berkemungkinan mendapat alahan atau alergi terhadap makanan tersebut.
• Penyusuan susu ibu secara eksklusif selama enam bulan dapat mengurangkan risiko gastrointestinal, pernafasan dan jangkitan telinga pada bayi.
• Bayi yang berusia lebih enam bulan dapat mengambil bahagian secara lebih aktif semasa makan seperti mencapai makanan jika masih mahu makan atau berpaling jika sudah kenyang.
• Makanan pejal akan mengurangkan jumlah susu yang bayi ambil.
• Bayi yang makan makanan pejal terlalu awal mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menjadi gemuk apabila besar nanti berbanding dengan bayi yang memulakan makanan pejal pada masa yang sesuai.
• Menyuap makanan pejal kepada bayi yang belum duduk adalah lebih sukar dan kadang-kadang mengecewakan bayi dan anda sendiri.
Kebaikan Untuk Ibu Yang Menyusu:
• Ibu yang menyusukan bayi secara eksklusif lebih lama akan mudah menurunkan berat badan.
• Cara semulajadi untuk menjarakkan kelahiran kerana haid datang lebih lambat.
• Bekalan susu ibu yang lebih stabil.

Tekstur Makanan Yang Sesuai Untuk Bayi

Tekstur makanan yang berlainan turut menambah kepada kepelbagaian dalam menu bayi selain daripada jenis dan warna makanan. Walaupun memperkenalkan bayi kepada tekstur makanan yang baru merupakan perkara yang baik, namun bayi selalunya memerlukan masa untuk biasa dengan rasa dan tekstur baru. Setiap bayi mempunyai selera yang unik, tetapi transisinya lebih kurang begini :
Empat Hingga Enam Bulan :

• Makanan dikisar halus sehingga menjadi puri.
• Cairkan makanan bayi dengan cecair seperti susu ibu/formula/air suam.
• Jika buah-buahan direbus, gunakan air rebusan tersebut untuk mencairkan makanan.
• Kisar makanan menggunakan pengisar.
• Penapis berjaring halus boleh digunakan untuk menapis makanan sambil melenyeknya dengan sudu.
Tujuh Bulan :

• Makanan bayi boleh dipekatkan dengan sedikit ketulan-ketulan kecil.
• Jika menggunakan penapis untuk menapis makanan, gunakan penapis yang kasar.
Lapan Bulan :

• Selain daripada memperkenalkan bayi dengan tekstur makanan yang baru, tekstur makanan 8 bulan juga dapat melegakan gusi bayi yang sedang tumbuh gigi.
• Makanan dilenyek dengan menggunakan garfu, sudu atau alat untuk melenyek.
• Makanan juga perlu dimasak sehingga lembut.
• Makanan juga boleh dicincang halus.
• Daging dan ayam kisar boleh diberikan semasa umur ini.
• Makanan jejari boleh diperkenalkan.
Setahun :

• Bayi sudah boleh makan makanan yang orang dewasa makan seperti makan nasi berbanding bubur.
• Anda cuma perlu memotongnya kepada potongan kecil untuk mengelakkan bayi dari tercekik.

Jus Buah Untuk Bayi.. Boleh Ke? Berapa Banyak?

Walaupun jus buah-buahan mempunyai beberapa kebaikan jika disertakan di dalam diet bayi, ada beberapa perkara yang harus diperhatikan jika anda ingin memberi jus buah-buahan kepada bayi anda.
  • Buat sendiri jus buah-buahan untuk bayi. Elakkan membeli jus yang dijual kerana kebanyakannya mempunyai kandungan gula dan pengawet.
  • Jangan campurkan gula di dalam jus buah-buahan bayi anda.
  • Beri bayi minum jus dalam cawan, bukan botol susu. Botol susu hanya untuk susu atau air kosong. Ini akan mengurangkan masalah kerosakan gigi.
  • Cairkan jus dengan satu bahagian jus dicampur sepuluh bahagian air yang telah dimasak.
  • Jangan beri bayi minum jus sebelum makan. Ini akan menyebabkan bayi kurang makan seterusnya kekurangan zat yang diperlukan untuk tumbesaran. Kekurangan zat makanan seterusnya akan menyebabkan badan bayi tidak dapat menyerap karbohidrat dengan baik.
  • Jangan berikan lebih daripada empat hingga enam auns jus sehari (bersamaan dengan satu hidangan buah-buahan).
  • Jus yang diambil dalam kuantiti yang berlebihan bukan sahaja boleh menyebabkan kerosakan gigi tetapi juga cirit-birit, angin dan perut bayi juga mungkin rasa tidak selesa.
  • Cara yang lebih baik untuk membuatkan bayi mendapat khasiat daripada buah adalah dengan memberinya buah itu tanpa dijadikan jus. Lagipun jus buah mengandungi amat kurang fiber berbanding dengan buah itu sendiri.
  • Alternatif yang lebih baik (dan lebih murah, dan lebih mudah) selain daripada jus adalah memberi bayi anda air kosong. Jika bayi telah menyukai rasa jus, agak sukar untuk dia minum air kosong kerana rasa jus yang manis amat disukai bayi

Tabiat Makan Sihat Bermula daripada Bayi


Bina tabiat makan yang sihat bermula daripada anak anda masih bayi lagi...
  • Jangan memberi bayi anda makan secara berlebihan.
  • Jangan memaksa bayi anda makan makanan yang tidak disukainya. Hormati kesukaannya dan elakkan menggunakan kuasa anda sebagai ibu bapa untuk memaksanya.
  • Beri anak makanan yang seimbang daripada kelas protin, karbohidrat, buah-buahan dan sayur-sayuran.
  • Elakkan penggunaan gula dan garam sebelum umur setahun, dan selepas umur itu gunakan dengan kadar yang sederhana.
  • Elakkan makanan ringan selama yang boleh.
  • Jangan jadikan makanan sebagai hadiah. Sebaliknya lebihkan pelukan, ciuman dan perhatian terhadap kebaikan yang anak anda lakukan.
  • Beri anak anda makan di highchair atau di meja makan. Elakkan makan di hadapan televisyen atau sambil berjalan.
  • Contoh melalui teladan. Anda sebagai ibu bapa perlulah mengamalkan pemakanan yang sihat supaya anak anda mencontohi anda kerana anak kecil mudah mengikut kelakuan orang dewasa.

Berapa Banyak Bayi Makan


Jika ditanya soalan ini, kebanyakan pakar kanak-kanak memberikan jawapan "Beri bayi anda makan sebanyak mana yang dia mahu" atau “Bayi anda tidak akan membiarkan dirinya kelaparan”. ImageSelagi bayi anda sihat, jangan risau jika dia makan terlalu sedikit atau terlalu banyak kerana bayi akan makan dalam jumlah yang diperlukannya. Jadi, tiada jumlah yang tepat berapa auns atau berapa gram makanan yang harus bayi makan. Selera makan bayi juga seperti orang dewasa, berlainan antara setiap bayi dan juga berubah-ubah mengikut masa.

Berapa banyak makanan pejal yang bayi makan bergantung kepada banyak perkara.

  • Bayi yang mula makan makanan pejal seawal 4 bulan biasanya akan makan lebih makanan pejal berbanding bayi yang bermula pada usia 6 bulan.
  • Bayi yang makan makanan dilenyek sebagai makanan permulaan akan makan dengan kuantiti yang kurang berbanding bayi yang makan makanan puri.
  • Selain itu kuantiti makanan yang bayi ambil bergantung kepada selera mereka sendiri.
  • Bayi yang tidak sihat atau sedang tumbuh gigi mungkin makan kurang daripada hari biasanya makan untuk beberapa hari. Selepas itu seleranya akan kembali seperti biasa.
  • Bayi yang ‘sibuk’ bereksplorasi dengan karpet atau permainan barunya mungkin rasa tidak betah duduk di dalam highchairnya, menunggu suapan.

Apa yang perlu anda buat ialah, berikan bayi makanan yang berkhasiat. Anda juga boleh belajar bagaimana mengenal tanda-tanda yang menunjukkan bayi anda berminat lagi untuk makan atau sebaliknya.

Anak Saya Tak Cukup Makan Ke?


ImagePemakanan adalah antara faktor terpenting yang menyumbang kepada kesihatan bayi secara keseluruhannya. Adalah penting untuk ibubapa/penjaga mengetahui adakah bayi mereka mendapat makan dengan secukupnya atau tidak..

Tanda-tanda bayi anda tidak mahu makan:

  • Menutup mulut apabila mahu disuap
  • Meluahkan makanan yang disuap
  • Menolehkan kepala apabila mahu disuap
  • Bagi bayi yang makan sendiri pula, dia akan mula bermain-main dengan makanannya.

Tanda-tanda bayi anda masih mahu makan:

  • Badannya ke hadapan menunggu untuk disuap
  • Membuka mulut apabila mahu disuap
  • Cuba untuk mencapai makanan dan memasukkannya ke dalam mulut
  • Menangis apabila melihat orang yang menyuapnya berlalu
  • Menjilat bibir
  • Menghisap tangan atau jari

Tanda Anak Tidak Cukup Khasiat:

  • Rambut : mudah gugur, kering, tak bermaya
  • Kulit : pucat, kering, berkedut, bersisik, mudah lebam
  • Mata : gelang hitam di bawah mata, tidak bersinar
  • Bibir : pecah, pucat
  • Gusi : Lembut, mudah berdarah
  • Gigi : rapuh dan banyak kaviti
  • Lidah : pucat dan lembut
  • Kuku : rapuh, nipis
  • Tulang : kaki bengkok

Makanan Jejari



Panduan mengenai makanan jejari untuk bayi.. umur yang sesuai, makanan yang sesuai dan cara yang betul....

Bila Bayi Bersedia?
Setiap bayi adalah berlainan. Tiada umur yang spesifik bila anda boleh mula memberi bayi makanan jejari. Perhatikan tanda-tanda kesediaan bayi seperti telah dapat duduk dengan tegap – tidak bergoyang-goyang, dan berminat serta pandai memegang makanannya sendiri. Secara amnya, bayi akan sedia untuk makanan jejari antara umurnya 6 hingga 9 bulan, namun kebanyakan bayi akan bermula ketika umurnya 8 bulan.

Pada umur ini, bayi biasanya telah menguasai kemahiran memegang dengan menggunakan jari ibu dan jari telunjuk. Makanan jejari sebenarnya menggalakkan kemahiran ini dan juga memperbaiki koordinasi antara tangan dan mulut. Makanan jejari yang ibu sediakan memang merupakan insentif yang menarik buat bayi belajar kemahiran baru.
Bayi Belum Tumbuh Gigi
Mungkin anda tertanya-tanya, bagaimana pula jika bayi anda belum tumbuh gigi. Berbeza dengan kepercayaan kebanyakan ibu-bapa, bayi anda tidak semestinya telah tumbuh gigi untuk dia mula makan makanan jejari. Bayi yang tiada gigi akan menggunakan gusinya yang keras untuk mengunyah makanan jejari tersebut. Jika anda menyusu badan, anda pasti tahu bagaimana kerasnya gusi bayi!
Penyediaan
Makanan yang boleh diberi sebagai makanan jejari amat mudah disediakan, tidak semestinya anda membeli biskut jejari yang telah siap dijual. Menyediakannya sendiri di rumah adalah lebih baik. Ia bukan sahaja lebih murah dan bersih, tetapi juga lebih berkhasiat. Anda juga dapat mempelbagaikan tekstur, warna dan rasanya yang amat bagus untuk penggunaan deria bayi.

Sayur-sayuran atau buah-buahan yang hendak anda berikan kepada bayi sebagai makanan jejari hendaklah dipotong memanjang 2-3 inci dengan ketebalan lebih kurang setengah inci. Makanan ini boleh anda kukus atau rebus. Pastikan makanan tersebut lembut dan mudah dikunyah. Buah-buahan seperti pisang, betik dan avocado boleh diberi mentah.

ntara makanan yang sesuai dijadikan makanan jejari adalah:
  • Sayur-sayuran seperti brokoli, ubi keledek, ubi kentang dan labu.
  • Buah-buahan seperti pisang, tembikai, epal, betik dan mangga.
  • Sumber protin seperti tauhu dan daging ayam.
  • Karbohidrat seperti roti dan biskut.
Perkenalkan makanan jejari satu demi satu, tambah jenis yang lain secara perlahan-lahan. Makanan-makanan ini haruslah pelbagai warna dan juga tekstur. Jika bayi tidak menyukai sesetengah jenis makanan, teruskan mencuba untuk memperkenalkannya dilain ketika.
Cicah dan Salut
Makanan ini boleh dimakan bersama dengan sos atau cicahnya, sudah tentu buatan sendiri yang lebih sihat. Sapuan seperti mentega kacang juga boleh digunakan. Anda boleh lihat resipi untuk membuat sos dan juga cicah makanan jejari dalam resipi yang disertakan.

Salutkan makanan yang licin seperti pisang dan avokado dengan serbuk bijirin. Ini akan memudahkan bayi untuk mengambilnya.

Jika bayi anda sedang tumbuh gigi, beri bayi makanan yang sejuk untuk melegakan gusinya yang gatal dan tidak selesa. Antara makanan yang boleh diberi ialah tembikai atau pisang yang dibekukan.
Jangan Tinggal Daku
Anda harus selalu memerhatikan bayi ketika dia makan makanan jejari. Pastikan bayi duduk dengan tegap, bukan baring dan bukan meniarap ketika makan kerana ini boleh menyebabkan bayi tercekik. Jangan tinggalkan bayi ketika dia makan makanan jejari berseorangan.
Ujikaji oleh Saintis Comel
Bayi anda mungkin akan membau dan merasa, malah dia mungkin akan melenyek-lenyek makanan tersebut, membalingnya atau apa-apa ‘eksperimen’ yang dirasakannya sesuai. Bersabarlah dengan karenah bayi anda, demi perkembangannya. Bayi belajar dengan bermain. Untuk mengurangkan sepah, beri bayi makanan jejari satu demi satu, atau letak hanya dua hingga tiga keping sahaja di dalam mangkuknya.
Jangan Terlebih
Makanan jejari amat sesuai sebagai snek antara makanan berat. Jangan memberikan bayi terlalu banyak makanan jejari lebih daripada keperluannya sehingga bayi tidak berminat untuk makan makanannya semasa waktu makannya.

Bungkuskan makanan jejari bayi jika anda mahu memulakan perjalanan. Ini dapat menolong dia menyibukkan dirinya jadi lebih muda bagi anda menguruskannya. Tapi jangan memberinya makan ketika kenderaan bergerak. Bahaya tau! Ada kes tercekik.

Panduan Memilih Makanan Bayi Komersial

Makanan yang dibeli siap juga berkhasiat dan selamat (walaupun tidak sebaik makanan dimasak sendiri ibu) jika anda tahu rahsianya. Anda harus memerhatikan perkara-perkara berikut ketika membeli makanan bayi siap...
  • Beri bayi bijirin bayi kosong yang diperkayakan dengan zat besi (iron) bukan bijirin orang dewasa.
  • Bijirin kering lebih baik daripada yang basah (dalam botol).
  • Mulakan dengan bijirin beras. Beras yang terbaik adalah beras perang kerana ia mempunyai lebih banyak khasiat berbanding beras putih. Selepas itu anda boleh mencuba barli, oat dan seterusnya gandum.
  • Selepas anda pasti bayi tiada alahan terhadap semua jenis bijirin, barulah cuba bijirin campuran. Seperti biasa, guna peraturan 3 hingga 7 hari untuk mencuba jenis yang lain.
  • Baca isi kandungan makanan yang dibeli. Pastikan tidak terdapat bahan yang bayi anda alah di dalam makanan tersebut seperti susu lembu, susu soya dan sebagainya.
  • Bijirin segera yang telah ditambah dengan sayur atau buah kurang baik berbanding yang kosong. Jika mahu bayi mendapat khasiat buah/sayur, masak sendiri sayur tersebut, kisar dan campurkan ke dalam bijirin yang telah dibancuh.
  • Sebaiknya anda menggunakan bijirin kosong tanpa susu kerana susu yang digunakan mungkin berlainan daripada susu yang bayi anda minum. Hampir setiap bijirin mempunyai susu lembu di dalamnya, jadi lagi sekali, baca isi kandungan dengan teliti.
  • Sebaiknya gunakan susu ibu yang diperah untuk membancuh bijirin yang tiada susu formula di dalamnya, Anda juga boleh menggunakan susu formula yang bersesuaian.
  • Lihat tarikh luput makanan yang dibeli.
  • Jika membeli makanan dalam tin, pastikan tiada kesan kemek dan berkarat pada tin.
  • Jika membeli makanan dalam botol, pastikan botol tertutup kemas dan tiada kesan bukaan.
  • Elakkan makanan bergaram dan bergula.
  • Pilih makanan yang tiada atau kurang campuran tepung ubi digunakan sebagai pemekat dalam makanan bayi dalam botol.
  • Basuh botol/tin/bekas pembungkus makanan bayi sebelum membukanya.
  • Bijirin kering harus disimpan di dalam bekas kedap udara dan periksa kandungan dalamnya sebelum menggunakannya.
  • Yang organik lebih baik.

Makanan Perlu Dielakkan Sehingga Bayi 2 Tahun

Semakin bayi anda membesar, semakin dia berminat mahu mencapai dan merasa makanan yang anda makan. Anda juga semakin tidak sabar untuk memperkenalkan makanan yang baru kepada anak anda.
Perlu diingat, tidak semua makanan sesuai untuk bayi anda kerana ada antara makanan belum lagi sesuai dengan sistem penghadaman bayi anda yang belum matang dan juga boleh membawa kepada masalah alahan. Tercekik juga adalah antara sebab kenapa sesetengah makanan tidak sesuai dimakan oleh bayi anda. Penting untuk anda tahu makanan yang perlu dielakkan. Teruskan membaca…

Makanan Yang Perlu Dielakkan: Baru Lahir Hingga 4 atau Hingga 6 Bulan

  • Semua makanan pejal :
    Sistem penghadaman bayi belum dapat menghadam makanan pejal dengan sempurna.

Makanan Yang Perlu Dielakkan: 4 Hingga 12 bulan

  • Garam, gula dan rempah-rempah yang pedas dan kuat :
    Sistem penghadaman bayi belum bersedia. Anda mungkin menghadapi masalah memberi anak anda makan makanan yang berkhasiat jika anak anda diperkenalkan dengan rasa manis gula terlalu awal.
  • Makanan Yang Telah Diproses:
    Sup, sayur dan buah-buahan dalam tin mempunyai kandungan garam dan gula yang tinggi.
  • Putih Telur :
    Bayi boleh makan kuning telur etapi anda perlu tunggu sehingga bayi berumur sekurang-kurangnya setahun untuk memberinya putih telur kerana risiko alahan putih telur adalah tinggi.
  • Buah-buahan Citrus:
    ImageBuah-buahan dan jus citrus seperti buah oren, lemon dan anggur boleh menyebabkan alahan terhadap bayi bawah setahun terutamanya jika terdapat sejarah alahan dalam keluarga. Buah-buahan citrus juga mengandungi asid yang tinggi dan boleh menyebabkan ruam yang pedih.
  • Madu :
    Walaupun madu sangat berkhasiat tetapi ia tidak sesuai untuk bayi berumur bawah setahun kerana boleh menyebabkan 'botulism' yang boleh membawa kepada maut!
  • ImageKacang, Mentega Kacang :
    Selain daripada risiko alahan kepada kacang yang sangat tinggi, kacang juga boleh menyebabkan bayi tercekik terutamanya mentega kacang.
  • Susu Lembu, Susu Kambing, Susu Soya dan semua produk susu yang tidak dipasteur :
    Teruskan dengan susu ibu atau susu formula sehingga bayi setahun. Bayi masih belum boleh menghadam protein dalam susu lembu dan kandungan mineral yang tinggi boleh merosakkan buah pinggang bayi. Ia juga tidak mempunyai semua khasiat yang bayi perlukan. Produk susu lain seperti yogurt dan keju boleh diambil hanya jika tiada sejarah alahan terhadap susu lembu dalam keluarga.
  • Makanan Laut :
    Makanan laut terutamanya yang bercengkerang antara makanan yang mempunyai risiko alahan yang tinggi.
  • Air Kopi, Teh, Sebarang jenis minuman berkafein dan juga minuman berkarbonat.
  • Jus Buah Pekat :
    Cairkan dahulu jus buah dengan nisbah jus:air adalah 1:10.
  • Gandum dan Produk Gandum : Kebanyakan bayi boleh menerima gandum (dalam bijirin, roti atau biskut) di dalam diet mereka apabila umur mereka 6-8 bulan. Tetapi anda boleh tunggu sehingga umurnya setahun jika anda risau akan masalah alergi.
  • Lain-lain Makanan Yang Mungkin Bayi Alah :
    Tunggu hingga umurnya setahun jika keluarga anda ada sejarah alahan terhadap apa-apa jenis makanan seperti jagung, soya, coklat. Jika sejarah alahan adalah teruk, tunggu sehingga 3 tahun.

Makanan Yang Perlu Dielakkan: 12 bulan hingga 24 bulan 

  • Susu Rendah Lemak :
    Bayi/kanak-kanak yang sedang membesar memerlukan lemak dan kalori untuk pertumbuhan dan pembesaran. Selepas umurnya 2 tahun, anda boleh mula memberi susu rendah lemak jika anak anda terlebih berat. Berbincang dengan doktor anda seelok-eloknya.
  • Lain-lain Makanan Yang Mungkin Bayi Alah :
    Tunggu hingga umurnya setahun jika keluarga anda ada sejarah alahan terhadap apa-apa jenis makanan seperti jagung, soya, coklat. Jika sejarah alahan adalah teruk, tunggu sehingga 3 tahun.


Get this widget here
Ruang Iklan Untuk Di sewa