Pola atau corak penyusuan bayi juga sangat penting sebagi tanda ia menetek dengan secukupnya. Bayi yang baru lahir akan menyusu setiap 11/2 hingga 3 jam dalam masa 24 jam. Jika bayi tidur dengan nyenyak untuk selama lebih 4 jam dalam dua minggu yang pertama selepas kelahiran, kejutkannya untuk disusui. Adalah penting bayi melekap dengan betul semasa menyusu (Lihat Melekap). Dengarkan bunyi tegukan untuk mengetahui yang bayi anda menelan susu dan bukan hanya menghisap. Juga perhatikan gerakan rahang yang perlahan dan mantap semasa menghisap susu.
Bayi anda sepatutnya memperolehi berat badan yang stabil selepas minggu pertama kelahiran. Pada minggu pertama, sesetengah bayi kehilangan berat badan beberapa auns tetapi memperolehinya semula di akhir minggu kedua. Doktor atau jururawat akan mengambil ukuran berat badan bayi anda setiap kali lawatan. Ingat bahawa bayi anda mungkin lebih kerap menyusu semasa pertumbuhannya memuncak.
Tanda-tanda bayi mendapat susu yang mencukupi:
• Sekurang-kurangnya 6 lampin basah setiap hari dan membuang air besar yang cair berwarna kekuningan 2- 5 kali sehari. Ini bergantung kepada umur bayi.
• Pastikan najis bayi tidak berwarna putih atau kelabu. • Peningkatan berat badannya stabil selepas minggu pertama kelahiran.
• Air kencingnya berwarna kuning pucat dan bukannya berwarna kuning pekat atau jingga.
• Tidurnya nyenyak, bayi kelihatan cergas ketika bangun tidur.
Adakah saya perlu memberi air?
Kebanyakan bayi yang menyusu susu ibu tidak memerlukan air, vitamin, atau ferum selama 6 bulan yang pertama. Susu ibu menyediakan semua cecair dan zat-zat makanan yang diperlukan oleh bayi untuk terus sihat. Apabila umur bayi mencapai 6 bulan, anda boleh mula memperkenalkan makanan yang kaya dengan ferum. The American Academy of Pediatrics dan The American Academy of Pediatric Dentistry telah mengesyorkan, bayi yang menyusu susu ibu (mahupun bayi yang menyusu dengan susu botol) tidak perlu diberi florida tambahan untuk 6 bulan pertamanya. Selepas berumur 6 bulan, berjumpalah pakar pediatrik untuk mengetahui sama ada anda perlu memberinya florida tambahan. Jika bayi anda tidak boleh atau enggan menyusu atau anda menghadapi masalah menyusukan bayi, adalah penting berjumpa doktor atau pakar pediatrik secepat mungkin. Keengganan menyusu mungkin disebabkan penyakit yang memerlukan perhatian segera.
Berapa lamakah masa yang diambil untuk menyusukan bayi?
Sesetengah bayi hanya menyusu selama 10 minit dari setiap payu dara, manakala yang lainnya lebih lama. Sesetengah bayi masih menghisap walaupun mereka kelihatan seperti tertidur. Jika bayi anda tertidur ketika menyusu, atau anda perlu menamatkan penyusuan sebelum bayi anda berhenti, leraikannya dengan memasukkan jari ke dalam mulut bayi ketika bibirnya masih melekap pada payu dara anda. Gunakan jari untuk meleraikan mulut bayi. Jangan sekali-kali menarik puting anda tanpa meleraikan hisapannya.
Menyusu dengan kedua-dua payudara
Muntah susu, tersedu dan lain-lain reaksi
Muntah susu atau jeluak merupakan tindak balas biasa yang terjadi di kalangan bayi semasa atau selepas menyusu. Sesetengahnya lebih mudah muntah berbanding dengan yang lain. Anda tidak perlu risau apabila bayi anda muntah. Tidak seperti bayi yang meminum susu formula, muntah yang dikeluarkan oleh bayi yang menyusu dengan susu ibu tidak begitu berbau dan tidak melekat pada kain atau linen. Jika bayi anda selalu muntah susu, lakukan perkara berikut:
• Cuba menyusu dalam keadaan yang tenteram, tenang dan menyeronokkan.
•Elakkan dari sebarang gangguan, bunyi bising, cahaya yang terlalu terang dan gangguan-gangguan lain.
• Sendawakan bayi sekurang-kurangnya 2 kali semasa menyusu.
• Pegang bayi anda tinggi sedikit semasa menyusu.
• Pegang dan tegakkan selepas menyusu.
• Jangan menggomol atau bermain dengan lasak bersama bayi selepas sahaja menyusukannya. Jika bayi anda muntah berulang kali, terutama jika muntahnya keluar memancut-mancut, dapatkan nasihat doktor secepat mungkin. Kebanyakan bayi akan tersedu dari masa ke semasa. Jika ini berlaku, anda masih boleh meneruskan penyusuan kerana sedu akan berhenti dengan sendirinya.