Ahad, 30 Mac 2008

Makanan Jejari



Panduan mengenai makanan jejari untuk bayi.. umur yang sesuai, makanan yang sesuai dan cara yang betul....

Bila Bayi Bersedia?
Setiap bayi adalah berlainan. Tiada umur yang spesifik bila anda boleh mula memberi bayi makanan jejari. Perhatikan tanda-tanda kesediaan bayi seperti telah dapat duduk dengan tegap – tidak bergoyang-goyang, dan berminat serta pandai memegang makanannya sendiri. Secara amnya, bayi akan sedia untuk makanan jejari antara umurnya 6 hingga 9 bulan, namun kebanyakan bayi akan bermula ketika umurnya 8 bulan.

Pada umur ini, bayi biasanya telah menguasai kemahiran memegang dengan menggunakan jari ibu dan jari telunjuk. Makanan jejari sebenarnya menggalakkan kemahiran ini dan juga memperbaiki koordinasi antara tangan dan mulut. Makanan jejari yang ibu sediakan memang merupakan insentif yang menarik buat bayi belajar kemahiran baru.
Bayi Belum Tumbuh Gigi
Mungkin anda tertanya-tanya, bagaimana pula jika bayi anda belum tumbuh gigi. Berbeza dengan kepercayaan kebanyakan ibu-bapa, bayi anda tidak semestinya telah tumbuh gigi untuk dia mula makan makanan jejari. Bayi yang tiada gigi akan menggunakan gusinya yang keras untuk mengunyah makanan jejari tersebut. Jika anda menyusu badan, anda pasti tahu bagaimana kerasnya gusi bayi!
Penyediaan
Makanan yang boleh diberi sebagai makanan jejari amat mudah disediakan, tidak semestinya anda membeli biskut jejari yang telah siap dijual. Menyediakannya sendiri di rumah adalah lebih baik. Ia bukan sahaja lebih murah dan bersih, tetapi juga lebih berkhasiat. Anda juga dapat mempelbagaikan tekstur, warna dan rasanya yang amat bagus untuk penggunaan deria bayi.

Sayur-sayuran atau buah-buahan yang hendak anda berikan kepada bayi sebagai makanan jejari hendaklah dipotong memanjang 2-3 inci dengan ketebalan lebih kurang setengah inci. Makanan ini boleh anda kukus atau rebus. Pastikan makanan tersebut lembut dan mudah dikunyah. Buah-buahan seperti pisang, betik dan avocado boleh diberi mentah.

ntara makanan yang sesuai dijadikan makanan jejari adalah:
  • Sayur-sayuran seperti brokoli, ubi keledek, ubi kentang dan labu.
  • Buah-buahan seperti pisang, tembikai, epal, betik dan mangga.
  • Sumber protin seperti tauhu dan daging ayam.
  • Karbohidrat seperti roti dan biskut.
Perkenalkan makanan jejari satu demi satu, tambah jenis yang lain secara perlahan-lahan. Makanan-makanan ini haruslah pelbagai warna dan juga tekstur. Jika bayi tidak menyukai sesetengah jenis makanan, teruskan mencuba untuk memperkenalkannya dilain ketika.
Cicah dan Salut
Makanan ini boleh dimakan bersama dengan sos atau cicahnya, sudah tentu buatan sendiri yang lebih sihat. Sapuan seperti mentega kacang juga boleh digunakan. Anda boleh lihat resipi untuk membuat sos dan juga cicah makanan jejari dalam resipi yang disertakan.

Salutkan makanan yang licin seperti pisang dan avokado dengan serbuk bijirin. Ini akan memudahkan bayi untuk mengambilnya.

Jika bayi anda sedang tumbuh gigi, beri bayi makanan yang sejuk untuk melegakan gusinya yang gatal dan tidak selesa. Antara makanan yang boleh diberi ialah tembikai atau pisang yang dibekukan.
Jangan Tinggal Daku
Anda harus selalu memerhatikan bayi ketika dia makan makanan jejari. Pastikan bayi duduk dengan tegap, bukan baring dan bukan meniarap ketika makan kerana ini boleh menyebabkan bayi tercekik. Jangan tinggalkan bayi ketika dia makan makanan jejari berseorangan.
Ujikaji oleh Saintis Comel
Bayi anda mungkin akan membau dan merasa, malah dia mungkin akan melenyek-lenyek makanan tersebut, membalingnya atau apa-apa ‘eksperimen’ yang dirasakannya sesuai. Bersabarlah dengan karenah bayi anda, demi perkembangannya. Bayi belajar dengan bermain. Untuk mengurangkan sepah, beri bayi makanan jejari satu demi satu, atau letak hanya dua hingga tiga keping sahaja di dalam mangkuknya.
Jangan Terlebih
Makanan jejari amat sesuai sebagai snek antara makanan berat. Jangan memberikan bayi terlalu banyak makanan jejari lebih daripada keperluannya sehingga bayi tidak berminat untuk makan makanannya semasa waktu makannya.

Bungkuskan makanan jejari bayi jika anda mahu memulakan perjalanan. Ini dapat menolong dia menyibukkan dirinya jadi lebih muda bagi anda menguruskannya. Tapi jangan memberinya makan ketika kenderaan bergerak. Bahaya tau! Ada kes tercekik.

0 comments :


Get this widget here
Ruang Iklan Untuk Di sewa